Edit Content

Terima Kasih

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Tahun 2025 Dun Ke-16

Suara Kukusan Demi Kukusan Kita Sejahtera

Semangat Sabah Maju Jaya Yang Kita Banggakan

Belabuhnya Tirai DUN Sabah Tahun 2025

 Lebih 2,000 Hadir Himpunan Muslimah Tawau 2025 Perjuang ‘Justic For Zara’ Melalui Pendekatan Ilmiah

TAWAU: Lebih 2,000 peserta menghadiri Himpunan Muslimah Tawau 2025 yang berlangsung meriah di sini, hari ini.

Majlis ini bukan sahaja medan perkongsian ilmu, malah platform solidariti memperjuangkan isu-isu wanita, termasuk kes kematian tragis remaja berusia 13 tahun, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, yang mendapat perhatian seluruh negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal, berkata penganjuran program ini membuktikan bahawa perjuangan menuntut keadilan tidak terhad kepada demonstrasi atau kenyataan lantang di media sosial semata-mata, sebaliknya boleh dilaksanakan melalui pendekatan ilmiah yang membina kesedaran secara berhemah dan berpaksikan ajaran Islam.

“Kita menyokong usaha mendapatkan ‘justice for Zara’ dengan cara tersendiri, iaitu melalui pendekatan ilmiah yang berpandukan prinsip syariah.

“Himpunan ini memberi ruang kepada wanita dan ibu untuk menimba ilmu bermanfaat, memperkukuh ukhuwah serta meningkatkan kesedaran agar bertindak secara rasional tanpa dipengaruhi provokasi atau emosi semata-mata,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Sabah berkata demikian ketika merasmikan himpunan tersebut di sini, hari ini.

Program anjuran bersama aktivis dakwah wanita ini menampilkan Ustazah Marhamah Rosli, antara individu yang lantang memperjuangkan isu arwah Zara, selain kehadiran ulama antarabangsa dari Yaman, Sheikh Niyaz, yang mengupas isu semasa berkaitan wanita dan keluarga dari perspektif Islam.

Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat khusus buat almarhumah Zara Qairina dan keluarganya yang dipimpin oleh Sheikh Niyaz.

Datuk Rina berkata, pendekatan berhemah ini selari dengan tuntutan Islam yang mengutamakan kebijaksanaan dalam menangani isu sensitif, khususnya kes yang masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Kita mahu wanita bertindak berlandaskan prinsip syariah, bukan sekadar mengikut arus emosi atau pengaruh luar. Kesedaran ini penting supaya suara wanita menjadi suara kolektif yang kukuh dan dihormati,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran kali ini mendapat sokongan padu daripada penggerak madrasah di Tawau dan Kalabakan yang mahu melihat lebih banyak program dakwah berimpak tinggi dilaksanakan.

“Saya berharap program seperti ini akan terus menyuntik semangat penggerak komuniti wanita untuk aktif melaksanakan aktiviti keagamaan dan pendidikan, demi melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi rohani dan jasmani,” katanya.

Kehadiran ribuan peserta daripada pelbagai latar belakang membuktikan kesepaduan wanita Muslimah Sabah dalam memperjuangkan isu masyarakat melalui jalur ilmu dan ukhuwah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© 2021 - 2025, Rina Hj Jainal, YB ADUN N.70 Kukusan. All Rights Reserved.