
TAWAU: Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal meletakkan jawatan serta-merta, susulan tindakan parti itu menggantung keahliannya selama tiga tahun.
Rina dalam kenyataan hari ini menegaskan, keputusan untuk meninggalkan parti dibuat atas prinsip dan maruah diri, selepas merasakan dirinya menjadi mangsa sabotaj politik oleh pihak dalam PHRS.
“Saya tidak lagi mempunyai kaitan dengan PHRS. Jelas ada pihak yang secara licik mahu menjatuhkan saya, terutama menjelang penamaan calon PRU DUN Sabah ke-17 ini.
“Tindakan menggantung saya tiga hari sebelum hari penting itu amat mencurigakan dan dilihat disengajakan bagi menghalang saya daripada bertanding,” katanya.
Sebelum ini, PHRS melalui Setiausaha Agungnya, Christy Chok Lee Lui, mengumumkan penggantungan jawatan dan keahlian Rina selama tiga tahun selepas mendakwa beliau melanggar disiplin parti.
Namun, Rina menyifatkan alasan itu sebagai tidak berasas dan sekadar helah politik bagi membuka laluan kepada calon lain yang lebih digemari pihak tertentu dalam parti.
“Saya kecewa kerana selama ini saya kekal setia, bekerja keras demi rakyat Kukusan. Tapi akhirnya saya diperlakukan seperti musuh,” ujarnya.
Rina turut berkata, penggantungan itu bukan sahaja menggugat semangat penyokong, malah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan akar umbi GRS di kawasan Kukusan.
“Tindakan ini jelas mencerminkan budaya politik tidak matang dan penuh muslihat. Namun saya tetap akan terus berjuang untuk rakyat walaupun tanpa wadah parti ini,” katanya.
Beliau menegaskan, perjuangannya di DUN Kukusan tidak akan terhenti hanya kerana keputusan PHRS, sebaliknya akan diteruskan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ini.
“Saya akan terus berjuang di Kukusan kerana masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk rakyat di sini. Ini bukan soal parti semata-mata, tetapi soal tanggungjawab dan amanah.
“Ramai pengundi di Kukusan yang bertanya, memohon agar saya terus bertanding dan memperjuangkan suara mereka. Selagi mereka mahu saya di sini, saya tidak akan berpaling,” katanya.