Apa Khabar Sekolah Di Sabah?

Kurang dua minggu lalu, saya ada menyentuh mengenai SOP pendidikan sempena COVID-19 berikutan 17 kluster berkaitan institusi pendidikan di Sabah.

Semalam, kluster ke 29 direkodkan membabitkan institusi yang sama iaitu peningkatan 12 kes dalam tempoh 10 hari. Namun, sehingga kini, saya tidak melihat langkah proaktif Jabatan Pendidikan berhubung perkembangan terbaharu ini.

Saya difahamkan ada sekolah di Tawau merekodkan lebih daripada 10 orang guru disahkan positif COVID-19 dalam satu masa, namun, sekolah masih beroperasi seperti biasa dan pelajar terpaksa bergabung kelas dek kerana kekurangan tenaga pengajar.

Ada juga pelajar mengeluh kerana tidak diberikan arahan yang jelas untuk hadir ke sekolah, dan guru meletakan ibu bapa/pelajar sendiri untuk membuat keputusan sendiri sama ada mahu hadir ke sekolah atau tidak.

Ada juga sekolah yang mengambil keputusan untuk menjalankan PdPR sepenuhnya.

Kita tidak boleh menyalahkan guru dan sekolah sepenuhnya kerana mereka juga tertakhluk kepada arahan pihak atasan terutamanya di peringkat Jabatan Pendidikan, Kementerian dan Kerajaan Negeri.

Jabatan Pendidikan pula mungkin perlu merujuk kepada Kementerian di Persekutuan memandangkan Kementerian Pendidikan dan Inovasi Sabah yang diwujudkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika menjadi Ketua Menteri sebelum ini telah dimansuhkan sebaik sahaja GRS berkuasa.

Saya melihat logiknya Datuk Seri mewujudkan Kementerian Pendidikan bersama dua Kementerian baharu lain ke arah pembangunan sumber manusia Sabah yang jauh ketinggalan.

Ia juga mengambil kira aspek pendidikan di Sabah yang terkebelakang selain memerlukan kaedah yang jauh berbeza berbanding Negeri di Semenanjung mengikut kategori pedalamanan dan sebagainya.

Berbalik kepada isu kluster institusi pendidikan di Sabah, jangan anggap semester 3 bakal berakhir, maka ia dibiarkan begitu sahaja.

Jangan biarkan keciciran pendidikan yang ada tidak setara dengan keputusan cemerlang peperiksaan yang akan diperolehi kelak.

RINA HJ JAINAL
ADUN N70 Kukusan
17 Februari 2022

Hubungi 089-760969 pada waktu pejabat kami 10 pagi – 4 petang untuk pertanyaan.

ATAU,

Whatsapp CARELINE saya di 010 – 779 4767 untuk aduan dan perkhidmatan masyarakat kawasan Kukusan.

“Kamu Adu, Kami Bantu”
“You Report, We Support”

Leave a Reply

Your email address will not be published.