Pandangan Saya Berkaitan SOP Negeri Sabah

Assalamualaikum salam sejahtera,

Pertama sekali, hantaran kali ini mungkin agak panjang, kerana saya rangkumkan sekali kejadian yang berlaku dalam tempoh 24 jam kelmarin.

Bacalah dengan hati terbuka. Dan sama-sama kita berkongsi rasa.

Hari ini 30 Jun 2021, jam 8 pagi, dua hari selepas pengumuman *Ketua Menteri Sabah mengenai SOP baharu Pelan Pemulihan Negara-Fasa Satu Bagi Negeri Sabah* khususnya berkaitan dengan kebenaran *dine-in* yang menjadi antara drama menarik berlaku di seluruh Sabah, kelmarin.

Walaupun tiada SOP dikeluarkan, awal pagi kelmarin, semua agak berjalan lancar dan ada orang boleh dine-in memberi sedikit kelegaan buat pengusaha restoran atau gerai.

Namun, bermula seawal jam 9 pagi ke atas, huru-hara mula berlaku. Usahlah terperinci saya terangkan bagaimana huru haranya kehidupan rakyat dan frontliner semalam, selepas berlaku sekali lagi kecelaruan SOP di peringkat negeri Sabah.

Kalau sebelum ini, hanya penduduk Tawau dan Kalabakan yang pening melihat SOP berubah-ubah tidak sampai 24 jam, kini satu Sabah mengalaminya.

Serius, tidak wajar untuk kita ketawa sebab ia berkaitan rezeki dan keperluan rakyat. Tetapi bila membaca status facebook orang ramai yang kononnya makanan kejap masuk piring, kejap masuk tapau, kejap susun meja, kemudian lari pula angkat kerusi meja, pasang tali, saya tersenyum dalam hiba.

Mungkin ramai menganggap rakyat kena prank, rakyat yang jadi pelawaknya, tapi saya melihat *Kerajaan Negeri Sabah dibawah GRS adalah BADUT sebenar.*

Selepas beberapa kali rasa tertipu dengan SOP Kerajaan GRS, sebahagian rakyat mula mengambil sikap tunggu dan lihat. Ada yang bijak menelefon sendiri PKOB di daerah masing-masing kerana tidak mahu tertipu lagi. Iyalah, berniaga dapat RM100-RM200 sehari, tiba-tiba dapat saman kena denda beribu-ribu ringgit dalam masa 5 minit. Syabas rakyat Sabah kerana tidak masuk ‘perangkap’.

Kemudian, *Menteri Kanan (Keselamatan) DS Ismail Sabri menegaskan kerajaan negeri tidak boleh melonggarkan SOP yang dikeluarkan MKN (Pusat). Tegasnya kerajaan negeri TIDAK SEPATUTNYA membuat SOP sendiri.

Kerajaan negeri tidak boleh longgarkan SOP – Ismail Sabri – Astro Awani

Dan dalam 14 negeri di Malaysia, hanya SABAH sahaja yang keluar dengan SOP baharu, satu langkah ke hadapan untuk ‘dine-in’. Jadi negeri yang dimaksudkan menteri adalah Sabah (yang bermati-matian berkempen perlu selari dengan Kerajaan Pusat)

Sabah Benarkan Dine-In, Aktiviti Pembuatan Dan Perkilangan Boleh Beroperasi

Tiba-tiba, ada pula penyokong Ketua Menteri Sabah mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan ‘boss’ mereka tidak mengikut SOP Kerajaan Pusat adalah tepat berdasarkan R-Nought dibawah 1.0 menunjukkan COVID-19 di Sabah adalah terkawal.

Yang peliknya, penyokong Ketua Menteri ini tiba-tiba menyebut pembangkang konon takut sentimen yang ditanam selama ini (Ketua Menteri hanya ikut telunjuk Kerajaan Pusat) musnah selepas Ketua Menteri bertindak dengan mengumumkan SOP baharu sendiri.

Namun, dakwaan mereka ‘dijawab’ oleh Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah Datuk Masidi Manjun menegaskan bahawa Sabah sedang tunggu pewartaan dari MKN Pusat.

Sabah masih menunggu SOP baharu dari Pusat

Sudah hampir 48 jam pengumuman Ketua Menteri Sabah berkaitan SOP baharu yang melonggarkan beberapa aktiviti, namun, sehingga kini ia masih belum diwartakan? Sedangkan Ketua Menteri Sabah, Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah dan Menteri Kanan Keselamatan negera adalah dari satu pasukan sama iaitu KERAJAAN.

Dimana pula antara mereka adalah PEMBANGKANG? Ini bukan isu ikut telunjuk atau tidak, yang rakyat persoalkan *MANA SOP?*

*Sudahlah Sabah kurang dapat bekalan vaksin, sampai ada PPV di Tawau kena tutup, adakah SOP di negeri sendiri pun perlu tunggu “dicerak” oleh Pusat?*

Seperkara lagi, kalau ‘dine-in’ belum boleh, hati-hati yang berbasikal, memancing, gunting rambut atau main golf ya, nanti dapat surat saman lagi. Ini serius, bukan main-main.

Fikir-fikirkan dan selamat beramal.

YB RINA JAINAL
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI N70 KUKUSAN

Hubungi CARELINE saya di 016-8034767 / 014-3009517 untuk aduan dan perkhidmatan masyarakat kawasan Kukusan.

“Kamu Adu, Kami Bantu”
“You Report, We Support”
您报告我们支持

Leave a Reply

Your email address will not be published.