Galas Tanggungjawab, Suara Anak Tawau -Kalabakan Di Pejabat Kerajaan Negeri

TARIKH 31 Oktober 2022 secara rasmi saya memulakan tugas sebagai Setiausaha Politik kepada Kementerian Kewangan Sabah.

Sekitar jam 2 petang, saya diiringi pegawai-pegawai daripada Pejabat DUN N70 Kukusan tiba di Pejabat Ketua Menteri untuk mengangkat sumpah di hadapan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Perkembangan ini, bukanlah bererti ‘kemenangan’ saya yang perlu dicanang. Sebaliknya ia adalah berkat kepercayaan yang diberikan pengundi Kukusan memilih saya sebagai ADUN sulung di Kukusan.

Tanpa kepercayaan yang diberikan, tanpa keberanian mereka untuk memberi peluang kepada wajah baharu seperti saya untuk bekerja, saya tidak akan mendapat peluang ini.

Saya tahu, biarpun orang luar memberi tomahan dan tuduhan, pengundi Kukusan tetap hadir memberi kata peransang kepada saya untuk terus berkhidmat.

Alhamdulillah, sejak keluar daripada Warisan dan menyertai Harapan Rakyat, banyak pembangunan infrastruktur, keperluan penduduk, pendidikan anak, kebajikan dan sebagainya berjaya diberikan.

Inilah tujuan mengapa saya keluar Warisan, dan menyokong Kerajaan, kerana untuk pembangunan di Kukusan itu sendiri.

InsyaAllah, selepas ini akan lebih banyak lagi program pembangunan di Kukusan dilakukan dan doakan ia berterusan.

Begitu juga kepada Kerajaan GRS yang diketuai oleh Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor kerana memberi kepercayaan dan peluang kepada parti kecil seperti Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) untuk sama-sama berusaha memantapkan lagi pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah.

Terima kasih juga kepada ‘otai-otai’ pemimpin dalam GRS iaitu Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Datuk Isnin Aliansi, Datuk Jahid Jahim dan Datuk Abdul Kassim Jali yang sentiasa terbuka menerima kehadiran saya, berkongsi pandangan, memberi nasihat dan galakan untuk saya berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Istimewa, setinggi penghargaan juga kepada ‘abang’ saya, Tan Sri Liew Yun Fah JP, Presiden PHRS, yang sentiasa memberi sokongan tanpa berbelah bahagi. Sabah hari tidak pernah lupa memberi nasihat demi nasihat agar saya tidak lupa akan tanggungjawab menolong rakyat.

Rakan-rakan seperjuangan di PHRS, parti kita mungkin kecil, tetapi kita semua berjiwa besar. Semoga ini menjadi pemangkin kepada kita untuk terus meyakinkan rakyat akan peranan PHRS dalam membela nasib mereka.

Buat keluarga kecil saya di Pejabat DUN N70 Kukusan dan Skuad Wanita Harapan (SWAH), teruskan momentum kita dalam menyantuni rakyat.

Akhir sekali, buat suami, ibu, anak-anak dan seluruh keluarga, terima kasih atas doa, keyakinan dan sokongan yang diberikan.

RINA HJ JAINAL
GALAS TANGGUNGJAWAB, SUARA ANAK TAWAU-KALABAKAN DI PEJABAT KERAJAAN NEGERISETIAUSAHA POLITIK KEMENTERIAN KEWANGAN NEGERI SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© 2021 - 2023, Rina Hj Jainal, YB ADUN N.70 Kukusan. All Rights Reserved.