Kenyataan Media ADUN Kukusan 19 Jun 2021

KENYATAAN MEDIA ADUN KUKUSAN
19 Jun 2021

Berdasarkan rekod yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mei lalu, hanya 12.84 peratus daripada lebih 3 juta penduduk Sabah mendaftar pengambilan vaksin COVID-19, manakala di Tawau hanya 9.9 % daripada 441,800 orang penduduk.

Ketika itu, dikatakan kurangnya kesedaran dan persepsi negatif terhadap kesan sampingan vaksinasi menjadi antara punca peratusan rendah berkenaan sekali gus menjadikan Sabah antara dua negeri paling rendah mendaftarkan vaksin COVID-19 di Malaysia.

Malah, saya difahamkan pengagihan vaksin di satu-satu kawasan turut bergantung kepada jumlah mereka yang mendaftar di aplikasi MySejahtera. Jika benar, ketika itu, Sabah hanya menerima jumlah vaksin yang rendah berbanding negeri lain.

Susulan perkembangan itu, dalam tempoh dua minggu ini, hampir semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Tawau mula giat melakukan ‘outreach’ ke kawasan kampung dalam usaha memujuk orang ramai untuk mendaftar pengambilan vaksinasi.

Hasil turun padang, kami mendapati ada beberapa sebab utama lain menyebabkan jumlah pendaftaran suntikan vaksinasi rendah di sini antaranya liputan internet yang teruk, ketiadaan gajet dan golongan tua yang kurang pengetahuan mengenai teknologi moden.

Ini kerana menerusi ‘outreach’, ramai penduduk sebenarnya mahu menerima suntikan vaksin, tetapi mempunyai halangan untuk mendaftar secara dalam talian.

Berdasarkan Laporan Harian Pendaftaran Vaksin menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda iaitu dari 248,258 orang pada akhir Mei kepada 743,552 orang pada 16 Jun lalu.

Di Tawau pula, jumlah yang berdaftar hampir mencecah 70,000 dengan pendaftaran perkapita 15.8. Ini bermakna untuk dua dos vaksin, Tawau memerlukan bekalan vaksin sebanyak 140,000 atau 23,000 vial.

PERSOALANNYA, ADAKAH BEKALAN VAKSIN YANG ADA SEKARANG, MENCUKUPI BAGI MENAMPUNG PERMINTAAN PENDUDUK TAWAU KHUSUSNYA DAN SABAH AMNYA YANG SUDAH MENDAFTAR UNTUK MENERIMA VAKSINASI?

KETIKA KERAJAAN NEGERI SARAWAK GIAT MELAKUKAN ‘OUTREACH’ DAN BERSEDIA MELAKUKAN PEMBELIAN VAKSIN SENDIRI UNTUK RAKYATNYA, APA YANG KERAJAAN NEGERI SABAH DI BAWAH KEPIMPINAN GRS LAKUKAN?

Saya melihat, sistem pemberian vaksin juga berbeza antara satu daerah dengan daerah lain sedangkan masalah yang dihadapi penduduk terutamanya membabitkan masalah liputan internet dan ketiadaan gajet hampir dialami di semua kawasan di Sabah.

Dengan pendaftaran vaksin yang kini berjumlah hampir 750,000 orang, tidak sampai 300,000 orang menerima vaksin sehingga semalam, berbanding Sarawak yang mencecah 484,869 orang.

Saya melihat ia satu perkembangan yang amat perlahan dalam situasi negeri yang mana sering mencatatkan jumlah pesakit positif COVID-19 yang tinggi di Malaysia.

SEHARUSNYA KERAJAAN NEGERI SABAH SUDAH BOLEH MENGAMBIL KEPUTUSAN PROAKTIF SENDIRI LEBIH AWAL APATAH LAGI MENGAMBIL KIRA HUBUNGAN BAIK DENGAN KERAJAAN PUSAT SEPERTI SLOGAN PILIHAN RAYA MEREKA ‘PERLU SEHALUAN DENGAN KERAJAAN PERSEKUTUAN BAGI MEMUDAHKAN PENTADBIRAN DAN MEMAJUKAN SABAH.’

YB RINA JAINAL
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI N70 KUKUSAN

Hubungi CARELINE saya di 016-8034767 / 014-3009517 untuk aduan dan perkhidmatan masyarakat kawasan Kukusan.

“Kamu Adu, Kami Bantu”
“You Report, We Support”
您报告我们支持

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© 2021 - 2023, Rina Hj Jainal, YB ADUN N.70 Kukusan. All Rights Reserved.