Teks Ucapan Penggal Kedua DUN Sabah Yang Ke-16 Tahun 2021

Assalamualaikum, selamat pagi dan salam sejahtera. Disebabkan saya tidak berkesempatan untuk berbahas di persidangan semalam, saya kongsikan teks ucapan saya di sini.

Kami di blok pembangkang berusaha untuk mengusulkan masa ditangguh sehingga jam 5 petang, namun tidak mendapat restu dari Tuan Speaker. Dewan tetap menegaskan kepatuhan kepada SOP MKN untuk menterhadkan masa bersidang sehingga jam 3.30 petang.

Salam reformasi, Sabah Kita Punya.

*******

Terima kasih tuan speaker.

Assalamualaikum dan salam hormat kepada sidang dewan sekalian.

Selepas sekian lama tidak bersidang, saya bersyukur kerana akhirnya dapat juga membawa masalah masalah rakyat di kawasan yang saya wakilkan DUN Kukusan.

Sudah tentu saya pastinya ingin mendapatkan perhatian kerajaan negeri Sabah mengenai kawasan yang saya wakilkan, Kukusan yang turut terdapat UPPM dari pihak Kerajaan Negeri sendiri.

Sebagai satu kawasan DUN baharu, boleh saya panggil DUN bongsu di Tawau dan Kalabakan, Kukusan sebenarnya terletak di pinggir bandar dan sebenarnya berpotensi menjadi sub bandar baharu di dua daerah berkenaan.

Dengan kepadatan penduduk melebihi 13,000 orang selain beberapa kemudahan penempatan agensi kerajaan seperti kem askar, sekolah, Kompleks Sukan dan yang sedang dalam pembinaan, Hospital Besar Tawau baru, mukim ini layak berkembang sebagai sebuah sub bandar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi penduduk.

Namun begitu, beberapa masalah saya ingin utarakan. Pertama masalah setinggan semakin meningkat. Dengan pandemik yang melanda sekarang ada yang memilih untuk tinggal di tanah buangan bagi mengelak komitmen sewa. Ini kerana sebahagian mereka malah hampir satu keluarga kehilangan pekerjaan menyebabkan mereka tidak mempunyai punca pendapatan tetap untuk membayar sewa bulanan kediaman sedia ada.

Malah saya turut membantu beberapa individu yang mahukan sokongan untuk ditempatkan di rumah PPR atau PPRT bagi membolehkan mereka kurang terbeban dengan kadar sewa bulanan kediaman yang agak tinggi bagi mereka.

Saya sedih apabila melihat warga kita yang mempunyai dokumen, ada keluarga yang ramai, ada anak kecil malah sebahagiannya menyara ibu bapa yang uzur terpaksa berhimpit di rumah setinggan yang usang menanti masa untuk rebah menyembah bumi.

Ini sangat mengecewakan kerana Sabah mempunyai tanah luas namun masih ramai lagi tidak mempunyai rumah tetap, bak menumpang di tanah sendiri. Saya berharap perancangan pembinaan rumah PPR sudah pun diperhalusi oleh pihak kerajaan pusat dan negeri memfokuskan penempatan di Kukusan.

Sebelum ini, ketika di era pemerintahan WARISAN, saya difahamkan Majlis Perbandaran Tawau merancang untuk membina pembangunan bercampur termasuk rumah PPR di kawasan Airport Lama. Apakah status pembangunan itu sekarang? Saya sedar baru-baru ini, KKM menerusi Menterinya Khairy Jamaluddin mengumumkan pembinaan hospital medan di situ sebagai hospital sementara untuk menampung rawatan COVID-19 sementara menunggu bangunan baharu Hospital Besar Tawau siap sepenuhnya.

Namun, itu mungkin pembangunan sementara, dan tidakkah ada perancangan jangka masa panjang dilakukan Kerajaan Negeri di situ?

Kedua, saya ingin menyentuh isu perbankan, tidak ada satu pun cawangan bank di buka di Kukusan untuk kemudahan penduduk. Selama ini, kami terpaksa turun ke bandar atau Kubota Square untuk melakukan urusan bank atau setidaknya jika ingin mendapatkan wang tunai.

Begitu juga sebahagian penduduk dari Merotai malah Felda Umas sendiri terpaksa turun jauh ke bandar untuk melakukan urusan perbankan malah hanya untuk mengeluarkan wang tunai untuk kegunaan seharian.

Kesannya jelas terlihat sepanjang perlaksaan PKP dan PKPD yang menghadkan pergerakan orang ramai antara Kalabakan dan Tawau. Penduduk dari Kalabakan terpaksa menempuh sehingga dua SJR dan mengambil masa berjam-jam lamanya hanya untuk mendapatkan wang tunai di bank, malah mereka juga terpaksa mendaptkan surat kebenaran rentas daerah di balai polis terlebih dahulu.

Belum lagi mengambil kira terpaksa beratur lama di BSN misalnya sehingga 2-3 hari untuk mendapatkan bantuan kewangan dari kerajaan. Ini adalah realiti yang dihadapi penduduk.

Oleh itu, saya berharap Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Kewangan dapat membina hub perbankan di Kukusan untuk kemudahan penduduk.

Saya melihat jika cawangan bank atau sekurang-kurangnya mesin ATM berkelompok yang menyediakan semua agensi bank, ia turut boleh digunakan penduduk kawasan berhampiran termasuk Taman Semarak, Tanjung Batu dan mungkin juga dari kawasan DUN Sri Tanjung.

Malah beberap kawasan strategik seperti Pasaraya Sthamin di Hill Top cukup strategik untuk pembinaan hub perbankan berkenaan selepas mengambil kira struktur bangunan dan aspek keselamatan. Atau bangunan-bangunan komersial baharu yang baru dibina sekitar Jalan Utara.

Selain itu, saya juga ingin menarik perhatian kerajaan negeri mengenai pusat latihan kenderaan di Hill Top yang tidak dapat beroperasi sehingga menyebabkan ramai orang tidak dapat menamatkan pengambilan lesen kenderaan kerana membabitkan persempadanan tanah antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Ini telah menyebabkan JPJ tidak meluluskan lesen mereka sekali gus menjejaskan mereka yang telah separuh jalan mengambil lesen di situ.

Situasi ini menyukarkan ramai rakyat setempat kerana kebanyakan mereka mencari pendapatan dengan menjadi pemandu menjalankan tugas pemandu lori/ treler, malah rider(runner) kerana rata-rata anak-anak muda mendapatkan lesen motorsikal juga melalui pusat latihan tersebut.

Saya berharap masalah ini mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri untuk menyelesaikan kemelut berkenaan kerana ia membabitkan kerugian orang ramai yang memerlukan lesen kenderaan bagi kelangsungan hidup.

Tuan speaker dan sidang dewan yang dikasihi sekalian,

Seterusnya saya ingin menyentuh mengenai laporan media Astro Awani pada 15 September lalu yang bertajuk KDN TELITI PEMBERIAN KAD PENGENALAN KEPADA PENERIMAVAKSIN DI SARAWAK, SABAH.

Timbalan Menteri KDN Datuk Seri Ismail Mohamed Said menjelaskan pihaknya akan mempertimbangkan memberikan kad pengenalan atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sabah, Sarawak termasuk dalam kalangan orang asal, jika memenuhi kelayakan.

Di peringkat negeri Sabah, ia dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS).

Perkara ini sebenarnya agak mengejutkan orang ramai dan menimbulkan banyak persoalan apatah lagi apabila perkara itu membabitkan JKPWAS. Adakah ini bermakna calon-calon penerima kewarganegaraan adalah dalam kalangan warga asing?

Adakah kerajaan negeri menyedari perkara ini? Sejauh mana jaminan GRS terhadap kenyataan Timbalan Menteri KDN itu tidak akan disalah gunakan dengan memberikan kerakyatan terhadap golongan tidak sewajarnya?

Adakah kerajaan GRS mengetahui atau sudah ada garis panduan pemberian kad pengenalan atau kewarganegaraan berkaitan?

Ini kerana, berdasarkan kenyataan Timbalan Menteri KDN itu, ia menunjukkan adanya perancangan berkaitan sejak sekian lama, namun, tidak dihebahkan kepada umum?

Adakah GRS juga menerusi program MEKAR mempunyai data bilangan orang asal di negeri ini yang tercicir daripada memiliki dokumentasi?

Dalam masa sama, bagaimana pula GRS mahu menyelesaikan isu ‘stateless’ yang kehidupan mereka semakin terhimpit di negeri ini?

Umum mengetahui isu ‘stateless’ atau keciciran dokumentasi penduduk asal di negeri kita sangat serius, sehingga memerlukan tindakan pengurusan drastik dan efisien dilakukan pihak berkuasa.

Semasa WARISAN muncul dengan cadangan PSS ketika menjadi Kerajaan Negeri lepas, bagi saya itu adalah solusi terbaik yang kita ada pada masa tersebut. Dengan sistem biometrik, ketelusannya lebih diyakini kerana pemegang cip adalah unik, mudah untuk dikenal pasti termasuk jumlah bilangan kategori ‘stateless’.

Menerusi PSS, kita dapat memantau keseimbangan perkembangan taraf kerakyatan, selain mampu membolehkan mereka ‘survive’ sekurang-kurangnya bekerja, bukannya terus mengemis meminta sedekah sehingga mengganggu ketenteraman rakyat tempatan.

Dan ia bukanlah setaraf dengan kad pengenalan penduduk tempatan seperti mana yang digembar-gemburkan segelintir pihak.

Namun, jika tiada tindakan proaktif dari kerajaan akan semakin ramai anak-anak tidak mendapat pendidikan sewajarnya manakala ibu-ibu mengandung tidak mendapat kemudahan kesihatan sehingga memaksa mereka menggunakan bidan kampung.

Di kawasan saya baru-baru ini seorang ibu muda meninggal dunia setelah melahirkan anak sulungnya kerana tidak mempunyai dokumen lengkap walaupun allahyarhamah sendiri merupakan anak bumiputera asli Sabah dan menetap tidak sampai 2km dari Hospital. Saya pasti, masalah ini berlaku di mana-mana. Disebabkan kekangan hidup dan kos hospital yg tinggi pasangan muda ini terdesak melahirkan anak sulung mereka di rumah.

Berbalik dengan cadangan Kerajaan untuk memberikan kerakyatan atau kad pengenalan terhadap mereka yang sudah bervaksin dan tiada dokumentasi, ia lebih teruk berbanding berbanding konsep PSS.

Sedikit perkongsian berfakta, menurut STATISTIK PERANGKAAN PADA 2017, hampir separuh daripada penghuni di DUN Tanjung Batu adalah bukan warganegara Malaysia. Justeru, bagaimana untuk Kerajaan menangani dengan baik isu-isu sebegini?

Memanglah tidak relevan dan apa kaitannya. Mungkin kita boleh mendapatkan maklumat orang tiada dokumentasi dengan lebih baik menerusi maklumat vaksinasi, bukannya dengan memberikan IC atau kewarganegaraan.
Akhir sekali,

Terima kasih saya ucapkan sekali lagi kepada Tuan Speaker kerana memberikan ruang masa ini agar saya dapat membawa suara dari bawah untuk diambil perhatian oleh sidang dewan dan kabinet dilantik. Saya mendoakan semoga kita semua diberi kesihatan agar kita wakil-wakil terpilih dapat memberikan perkhidmatan terbaik demi Sabah Tanah Air kita.

Wassalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published.