Penangguhan Pembinaan ICQ Kalabakan, Diskriminasi Putrajaya Ke Atas Sabah

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Rabu lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, ketika menjawab secara bertulis soalan Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman di Parlimen, dilaporkan berkata bahawa ICQ Kalabakan ditangguhkan berikutan tiada peruntukan diberikan Kementerian Kewangan.

Sesuatu yang tidak mengejutkan apabila projek mega dan memberi impak besar kepada Sabah dianak tirikan Kerajaan Pusat.
Dikala Indonesia sedang bersiap sedia menjadikan Kalimantan Timur sebagai ibu negara baharu, Kerajaan Persekutuan pula mengambil pendekatan menangguhkan pembinaan ICQ Serudong-Kalabakan yang dilihat perlu untuk proses pembangunan di negeri ini.

Sebenarnya perkara ini telah lama berlaku. Siapa yang pernah ke Indonesia (Kalimantan Timur) pasti mengetahui bagaimana kemudahan infrastruktur seperti jalan raya telah lama dibangunkan dan berada dalam keadaan baik di sana.

Malah ia berlaku sebelum Indonesia bercadang memindahkan pusat pentadbirannya ke Kalimantan Timur.

Melihat keadaan jalan raya utama dan pembangunan infrastruktur di Kalabakan, kita sedar betapa jauh ketinggalannya Sabah jika dibandingkan negara jiran.

Justeru, apabila Kerajaan PH-Warisan meluluskan peruntukan RM600juta bagi pembinaan ICQ Serudong-Kalabakan dilihat sebagai satu sinar baharu dalam membantu proses pembangunan dan ekonomi di sini.

Malah, pengumuman Kerajaan Negeri pada Sidang DUN baru-bari ini untuk membangunkan bandar sempadan seperti Tawau juga dilihat selari dengan usaha memakmurkan pembangunan dan slogan Sabah Maju Jaya.

Pembangunan ICQ ini dilihat satu keperluan dan memberi banyak implikasi terutamanya membabitkan pulangan ekonomi kepada Sabah.

Dalam masa sama, ia juga boleh mengatasi isu penyeludupan yang banyak berlaku di daerah ini, apabila aktiviti berkenaan dihalalkan dengan kawal selia daripada pihak berkuasa secara perundangan.

Malangnya, apabila Kerajaan Pusat memaklumkan penangguhan pembinaan ICQ Serudong-Kalabakan dengan alasan tiada duit, ia jelas menunjukkan tiada kesungguhan kerajaan dalam mengangkat pembangunan di Kalabakan khususnya dan Sabah secara amnya.

Adakah ini harga yang harus diterima rakyat Sabah apabila menyokong Pakatan Nasional – GRS – BN dalam PRU lalu?


Adakah ini yang dikatakan keperluan Sabah sehaluan dengan Kerajaan Pusat untuk memudahkan pembangunan di Sabah?


Dengan projek Pan Borneo yang mana rakyat masih diminta bersabar dua tahun setengah menghadap jalan berlubang persis bulan, diikuti isu kandungan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Sabah berhak menerima 40% hasil bersih daripada kutipan cukai Kerajaan Persekutuan tidak lagi terpakai, kini rakyat Sabah sekali lagi ditempelak apabila projek ICQ Serudong-Kalabakan ditangguhkan.

Inilah harga sebenar yang perlu dibayar rakyat Sabah apabila mengambil keputusan menyokong PN di Sabah.

Bukan hendak membatu api, tetapi rakyat Sabah perlu sedar dan bangkit daripada terus menjadi khadam Kerajaan Pusat dalam mengaut hasil Negeri demi kepentingan mereka dan membuatkan Sabah terus jauh ketinggalan.

Lihat Sarawak, bagaimana mereka mesra Kerajaan Pusat, tetapi menolak kehadiran dan penguasaan Putrajaya ke atas negeri mereka, inilah yang WARISAN perjuangkan sejak mula ditubuhkan sehingga kini.

RJ
ADUN N70 KUKUSAN
29 Mac 2022

Hubungi 089-760969 pada waktu pejabat kami 10 pagi – 4 petang untuk pertanyaan.

ATAU,

Whatsapp CARELINE saya di 010 – 779 4767 untuk aduan dan perkhidmatan masyarakat kawasan Kukusan.

“Kamu Adu, Kami Bantu”
“You Report, We Support”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© 2021 - 2023, Rina Hj Jainal, YB ADUN N.70 Kukusan. All Rights Reserved.