

Sebagai anak jati negeri Sabah, saya percaya bahawa sudah tiba masanya kita dilihat bersatu padu dan sebulat suara dalam mengangkat Sabah sebagai sebuah wilayah berdaulat yang mampu mempengaruhi arah tuju pentadbiran Persekutuan.
Komitmen YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), dalam menjunjung prinsip kesaksamaan antara kerajaan Persekutuan dan Negeri, membuktikan bahawa kerjasama itu bukan retorik – tetapi satu iltizam politik yang sedang digerakkan bersama.
Di bawah kepimpinan YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, kita menyaksikan terbentuknya hubungan strategik yang lebih matang – hasil dari pengalaman panjang menerajui pelbagai gabungan politik sebelum ini. Namun begitu, dinamik pergerakan masa kini menuntut kita untuk lebih berhati-hati dengan naratif seperti sentimen “Blok Borneo” yang kadang kala dilihat tidak disenangi sesetengah pihak.
Perjuangan politik hari ini tidak boleh berlandaskan emosi semata-mata. Ia memerlukan pendekatan berdasarkan data, keperluan rakyat, dan pembentukan dasar yang adil. Kebajikan rakyat mesti dijamin, tetapi yang lebih penting ialah memastikan dasar dan undang-undang yang digubal mengambil kira realiti dan hak Sabah sebagai rakan pembentuk Persekutuan Malaysia.
Ini bukan perjuangan biasa-biasa. Ini perjuangan membentuk masa depan Sabah yang lebih berdaulat, lebih dihormati, dan lebih berpengaruh.
Rina Hj Jainal
28 Julai 2025