




Hari ini saya cukup bangga melihat semangat dan kreativiti anak-anak yang menyertai pertandingan Sabah Maker Fair Tawau Edition 2026 di Sk Holy Trinity pagi tadi.
Seramai 68 pasukan daripada sekolah rendah dan menengah, termasuk penyertaan dari daerah Kunak, tampil membawa pelbagai idea serta penyelesaian kreatif yang membuktikan anak Sabah memiliki potensi yang besar apabila diberi ruang untuk berkembang.
Pertandingan seperti ini melatih mereka berfikir, mencipta, menguji idea dan berani mencari penyelesaian kepada cabaran dunia sebenar.
Sempat juga saya tengok demo hasil ciptaan pelajar seperti alat kawalan tikus menggunakan sanitizer dan alat perangkap sampah di sinki.
Dari idea yang mudah, lahir kreativiti yang melatih mereka berfikir dan mencari jalan penyelesaian.
Dari sinilah lahirnya generasi yang mampu memimpin perubahan melalui sains, teknologi dan inovasi.
Setinggi-tinggi penghargaan kepada Hap Seng Group selaku penaja utama menerusi inisiatif CSR, Chumbaka, Lepak Chamber, Pejabat Pendidikan Daerah Tawau, warga SK Holy Trinity selaku tuan rumah, para guru pembimbing, ibu bapa serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program ini.
Apabila kerajaan, sekolah, sektor swasta dan masyarakat berganding bahu, lebih ramai anak Sabah akan mendapat peluang untuk mengembangkan bakat, membina keyakinan dan menjadi pencipta yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri.
Tahniah kepada semua peserta. Teruskan mencipta, teruskan berkarya dan jangan pernah berhenti belajar.
Pada pandangan anda, apakah lagi yang perlu kita lakukan supaya lebih ramai anak Sabah berani mencipta teknologi dan inovasi mereka sendiri? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen.