




Pagi tadi, saya menyertai Sabah DUN Reform Forum sebagai salah seorang panel jemputan bagi membincangkan hala tuju dan usaha memperkukuh institusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Antara perkara yang dibincangkan termasuklah usaha meningkatkan ketelusan dan akses orang awam terhadap maklumat persidangan DUN, memperkukuh fungsi semak dan imbang, menambah baik tempoh serta perjalanan persidangan dan memperkasakan peranan Jawatankuasa Pilihan Khas.
Bagi saya, sebuah institusi DUN yang kuat bukan hanya bergantung kepada proses menggubal undang-undang, tetapi juga sejauh mana suara rakyat dapat dibawa, maklumat dapat diakses dengan mudah dan setiap dasar serta keputusan kerajaan dapat diteliti dengan baik.
Perbincangan seperti ini penting kerana reformasi institusi memerlukan pandangan daripada pelbagai pihak. Penglibatan masyarakat sivil, ahli akademik, pengamal media dan golongan profesional dapat membantu mengenal pasti ruang penambahbaikan serta mengemukakan cadangan yang lebih praktikal dan bersesuaian dengan keperluan Sabah.
Tambahan pula, Sabah bakal menjadi tuan rumah Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia pada tahun 2027. Saya melihat forum ini sebagai satu langkah awal yang baik untuk membuka ruang perbincangan dan kerjasama ke arah penambahbaikan institusi perundangan negeri.
Harapan saya agar segala pandangan dan cadangan yang dikongsikan dapat diteruskan kepada tindakan yang bersesuaian demi memastikan DUN Sabah terus berkembang sebagai sebuah institusi yang lebih terbuka, berwibawa dan sentiasa membawa kepentingan rakyat.
Terima kasih kepada pihak penganjur atas jemputan dan ruang untuk turut sama menyumbang pandangan dalam perbincangan ini.