Pantau Saluran Air Hujan , Tempat Penapis Minuman Di Kediaman Anda

SAYA menggesa orang ramai memantau saluran paip air hujan dan tempat penapis air di kediaman masing-masing.

Dalam program Gotong Royong Perdana Kukusan Cegah Denggi di Taman Victoria, Ahad lalu, saya mendapati ia menjadi lokasi pembiakan jentik-jentik dipercayai nyamuk Aedes.

Saya melihat saluran paip air hujan (pancuran) di beberapa kediaman penduduk telah dipenuhi dengan tumbuhan dan rumput.

Ia menyebabkan saluran air hujan itu sumbat dan boleh menyebabkan air bertakung di situ.

Umum mengetahui takungan air jernih berkenaan menjadi lokasi pembiakan jentik-jentik sekali gus boleh menyumbang kepada pembiakan nyamuk dan denggi berlaku.

Selain itu, orang ramai juga diminta kerap membersihkan bekas takungan air di mesin penapis air di rumah selain meminta pihak berkaitan memastikan perkara tersebut ketika kerja ‘servis’ dilakukan.

Menerusi mesyuarat Task Force Kukusan Cegah Denggi anjuran Pejabat ADUN N70 Kukusan bersama agensi kerajaan dan NGO, Pejabat Kesihatan Daerah Tawau memaklumkan bahawa terdapat kes berlakunya pembiakan nyamuk dan jentik-jentik di bekas takungan air berkenaan.

Justeru, saya meminta agar orang ramai peka dan membersihkan dua lokasi ini selain memantau di lokasi biasa seperti kolam tadahan, tangki air, pasu dan sebagainya.

Selain itu, masalah ubah suai rumah khususnya di kawasan pagar masuk ke kediaman juga dikesan menyebabkan longkang tersumbat dan air bertakung.

Seharusnya penduduk perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak menutup laluan ‘driveway’ di hadapan rumah dengan binaan kekal bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan secara berkala dan tidak menyebabkan air bertakung.

Diharapkan semua penduduk memainkan peranan. Ini kerana bagi satu kawasan pembiakan nyamuk Aedes, ia boleh mendatangkan risiko kepada penduduk dalam radius jarak 200 meter.

Luangkan masa waktu cuti anda untuk memeriksa dan memantau kawasan persekitaran bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes.

Bersama ke arah penjagaan kesihatan setempat.

RINA HJ JAINAL
Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah
merangkap ADUN N70 Kukusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© 2021 - 2023, Rina Hj Jainal, YB ADUN N.70 Kukusan. All Rights Reserved.