Program Santuni Calon SPM 2020 di SMK Kuhara, Tawau

KENYATAAN MEDIA TARIKH: 8 FEBRUARI 2021

PROGRAM SANTUNI CALON SPM 2020 DI SMK KUHARA, TAWAU

1. Buat julung kalinya, pejabat ADUN N.70 Kukusan mengambil inisiatif mengedarkan cecair sanitasi dan pelitup separuh muka kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, di SMK Kuhara, hari ini.

2. Saya difahamkan seramai 341 pelajar bakal menduduki peperiksaan penting berkenaan yang dijangka bermula pada 22 Februari – 25 Mac 2021, di sini.

3. Umum mengetahui bahawa calon SPM 2020 ini sepatutnya menduduki peperiksaan akhir tahun lalu, namun, tertangguh akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

4. Mungkin orang luar melihatnya agak mudah kerana mereka (pelajar) mempunyai tempoh masa lebih panjang untuk membuat persiapan peperiksaan.

5. Namun, tempoh masa yang panjang dan di luar kebiasaan itu juga sebenarnya boleh memberikan kesan negatif kepada emosi dan perancangan pelajar berkaitan.

6. Walaupun Kementerian Pendidikan tampil dengan pelbagai kaedah termasuk pembelajaran maya, namun ia tetap akan memberi pelbagai kesan dan memerlukan masa untuk pelajar membiasakan diri.

7. Meneliti laporan media mahupun perkongsian yang dimuat naik di media sosial sebelum ini, sebahagian pelajar juga tidak dapat mengikuti kelas yang dilakukan ekoran kekangan liputan telekomunikasi dan gadjet di rumah.

8. Disebabkan pelbagai masalah yang terpaksa dihadapi itu, ia pastinya meninggalkan kesan emosi sehingga ada di antara mereka yang tidak lagi bersemangat untuk menduduki peperiksaan.

9. Sebagai wakil rakyat, dan juga orang dewasa, saya memandang berat perkara ini kerana ia membabitkan tekanan emosi yang sukar dinilai dengan mata kasar semata-mata.

10. Sehubungan itu, saya melihat keperluan untuk turut sama memainkan peranan dalam membantu memberi sokongan kepada pelajar untuk lebih bersemangat menjelang saat akhir sebelum menduduki peperiksaan penting tersebut.

11. Selain cecair sanitasi dan pelitup muka, turut diedarkan alat tulis bagi memudahkan mereka membuat persiapan menjelang peperiksaan nanti.

12. Saya mengucapkan dan mendoakan semua calon SPM 2020 dapat menduduki peperiksaan dengan jayanya.

YB RINA JAINAL
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI N.70 KUKUSAN

Hubungi CARELINE saya di 016-8034767 / 014-3009517 untuk aduan dan perkhidmatan masyarakat kawasan Kukusan.

“Kamu Adu, Kami Bantu”
“You Report, We Support”
您报告我们支持

Leave a Reply

Your email address will not be published.