





Semalam, saya menghadiri Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Hari Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Sedunia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 sebagai Wakil Rasmi Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.
Setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Musa bin Haji Aman, Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Penaung Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah atas perkenan berangkat hadir dan menyempurnakan majlis ini.
Tahniah kepada Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah atas komitmen berterusan dalam memperkukuhkan usaha kemanusiaan, kesukarelawanan dan khidmat kepada masyarakat. Tema sambutan tahun ini, “United in Humanity” atau “Bersatu Dalam Kemanusiaan”, menjadi peringatan bahawa semangat kebersamaan dan keprihatinan adalah asas kepada kesejahteraan rakyat.
Sebagai tanda sokongan terhadap usaha-usaha tersebut, Kerajaan Negeri Sabah telah menyalurkan geran berjumlah RM110,000 melalui Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) serta RM100,000 melalui Majlis Belia Sabah bagi menyokong pelaksanaan program kemasyarakatan, pembangunan komuniti, belia dan kesukarelawanan.
Tahniah dan syabas kepada semua penerima pingat dan anugerah yang diraikan. Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi untuk terus berbakti kepada masyarakat dan memperkukuhkan budaya kesukarelawanan di negeri Sabah.
Majlis turut dihadiri oleh Datuk Asnan Yunus Chung, Pengerusi BSMM Negeri Sabah; Dato’ Sri Dr. Haji Sabin Samitah, Mayor Kota Kinabalu; Datuk Surveyor Alan Chua Ming Ling, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah; Tuan Mohd Pisar Aziz, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah; Tuan Kolonel (Dr.) Tharmalingam a/l Rajalingam, Penolong Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Markas Divisyen Kelima Infantri, Angkatan Tentera Malaysia serta tetamu-tetamu kehormat yang lain.