




Setiap rumah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk sebuah keluarga. Namun hakikatnya, masih ramai yang hidup dalam ketakutan akibat keganasan rumah tangga.
Statistik tahun 2025 menunjukkan sebanyak 7,391 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara, manakala Sabah mencatatkan 554 kes.
Angka ini bukan hanya data, tetapi menggambarkan masih ramai wanita, kanak-kanak dan ahli keluarga yang memerlukan perlindungan, sokongan dan keberanian untuk keluar daripada kitaran penderaan.
Justeru, saya amat berbesar hati merasmikan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @ Keganasan Rumah Tangga (AkuWanita@KRT) Peringkat Negeri Sabah 2026 di Tawau.
Syabas dan tahniah kepada Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) serta semua agensi yang berganding bahu menjayakan program yang membawa mesej begitu penting kepada masyarakat.
Sebagai Kerajaan Negeri, kita akan terus memperkukuhkan usaha memperkasa wanita melalui pendidikan, advokasi, sokongan psikologi, bantuan guaman, perlindungan kepada mangsa serta kerjasama erat antara agensi kerajaan, NGO dan komuniti. Tiada wanita yang sepatutnya berasa keseorangan apabila berdepan situasi seperti ini.
Saya ingin menyeru kepada seluruh masyarakat agar menjadi mata dan telinga kepada komuniti. Jangan anggap keganasan rumah tangga sebagai masalah peribadi yang perlu didiamkan.
Jika kita tahu ada mangsa yang memerlukan pertolongan, hulurkan bantuan dan salurkan maklumat kepada pihak berkuasa. Kadangkala, tindakan kecil daripada kita mampu menyelamatkan sebuah keluarga.
Wanita yang dilindungi akan melahirkan keluarga yang lebih kuat. Keluarga yang sejahtera pula menjadi asas kepada masyarakat dan negeri yang lebih harmoni. Tanggungjawab ini bukan milik kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab kita semua.