Kenyataan Bersama Ahli-Ahli Parlimen Parti Warisan, Muda, Parti Sarawak Bersatu dan UPKO

KENYATAAN BERSAMA
AHLI-AHLI PARLIMEN PARTI WARISAN, MUDA, PARTI SARAWAK BERSATU DAN UPKO
ISNIN, 2 OGOS 20211.

Kami menjunjung kasih ke atas titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara pada 29 Julai 2021 lalu yang telah menyatakan pandangan Baginda Tuanku terhadap kepentingan serta keperluan untuk Institusi Parlimen Malaysia dimartabatkan dan Perlembagaan Persekutuan hendaklah sentiasa dipatuhi serta mengikut peraturan dan undang-undang negara.

2. Asas dan tunjang kepada Perlembagaan Negara ini haruslah dipertahankan dan perlu diterjemahkan melalui tindakan secara profesional tanpa wujudnya faktor ‘Fear & Favour’ yang memungkinkan asas utama bagi suatu pentadbiran yang telus dan berintegriti tercalar.

3. Melihat kepada perkembangan yang berlaku sejak hari pertama Mesyuarat Khas Sidang Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 yang bermula pada 26 Julai 2021 lalu, terbukti akan ketidaksungguhan dan kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional dalam mentadbir urus negara ini terutama dalam membendung wabak Covid-19.

4. Kami juga mengambil serius berkenaan penzahiran rasa dukacita KDYMM Seri Paduka Baginda terhadap Yang Berhormat Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan dan YBhg. Tan Sri Idrus bin Harun yang telah gagal dalam menjalankan titah perintah dan perkenan Baginda Tuanku supaya cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat perlu dibentang, dibahas dan seterusnya diungkaikan di Parlimen.

5. Keputusan dan tindakan Kerajaan Perikatan Nasional yang secara jelas ingkar dan tidak patuh kepada titah Baginda Tuanku, kami berpendirian bahawa Kerajaan Perikatan Nasional telah dengan sengaja menghalang dan mematikan kesuburan sistem demokrasi dan semak imbang yang perlu diangkat dan diterjemahkan melalui institusi Parlimen negara ini.

6. Maka dengan itu, merujuk kepada Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan, kami mendesak Perdana Menteri, YAB Tan Sri Mahiaddin bin Md Yassin dan seluruh anggota kabinet di bawah pimpinan beliau meletakkan jawatan secara terhormat serta merta.

-Tamat-

DATUK SERI PANGLIMA HAJI MOHD SHAFIE BIN HAJI APDAL
AHLI PARLIMEN SEMPORNA

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
AHLI PARLIMEN MUAR

DATO’ MASIR ANAK KUJAT
AHLI PARLIMEN SRI AMAN

BARU BIAN
AHLI PARLIMEN SELANGAU

DATUK SERI PANGLIMA WILFRED MADIUS TANGAU
AHLI PARLIMEN TUARAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© 2021 - 2023, Rina Hj Jainal, YB ADUN N.70 Kukusan. All Rights Reserved.