Kenyataan Media : 05 Februari 2021

KENYATAAN MEDIA
TARIKH: 5 FEBRUARI 2021

SOKONGAN TERHADAP CADANGAN SAWO, MEMINTA KERAJAAN MEMBERI PERUNTUKAN KHAS RM10JUTA TERHADAP WAKIL RAKYAT PARLIMEN WANITA

1. Cadangan SAWO (Sabah Women’s Action-Resource Grou p) mencadangkan kepada kerajaan untuk memperkenalkan pendanaan awam kepada parti politik berdasarkan jumlah kerusi parlimen yang dipegang oleh wanita iaitu sebanyak RM10 juta bagi setiap parlimen.

2. Menurut SAWO, tujuan pendanaan awam itu adalah bagi menggalakkan lebih banyak pembabitan perwakilan wanita dalam Dewan Rakyat. Untuk kelayakan menerima peruntukan ini, parti politik hanya perlu ada sekurang-kurangnya seorang wanita dipilih sebagai ahli parlimen. Peruntukan ini akan disalurkan secara berkadaran berdasarkan jumlah ahli parlimen wanita yang mewakili parti tersebut.

3. Sehubungan itu, sebagai salah seorang daripada enam wakil rakyat wanita di DUN Sabah, saya terpanggil untuk meneliti cadangan tersebut.

4. Selepas penelitian dilakukan, saya menyokong cadangan ini dalam usaha memperkasa peranan wanita khususnya keterlibatan dalam membuat keputusan di peringkat pentadbiran.

5. Ia dilihat sebagai galakan kepada setiap parti memilih calon wanita untuk diketengahkan pada PRU/PRN akan datang sekali gus dapat mencari dan mengetengahkan pemimpin wanita yang berkelayakan.

6. Sebagai tambahan, jumlah penggunaan perlu disalurkan kepada program parti dan pengambilan staf bagi menggalakkan penyertaan wanita dalam politik.

7. Dalam masa sama, saya melihat peruntukkan sebanyak RM10 juta bagi setiap parlimen adalah munasabah. Sebagai contoh, daripada jumlah itu, mungkin RM1 juta diperuntukkan bagi setiap DUN dalam tempoh setahun, sekali gus membolehkan ADUN melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan khususnya membabitkan pembangunan wanita serta masyarakat.

8. Lebih-lebih lagi, dalam keadaan negara berdepan dengan pandemik Covid-19, sehingga menyebabkan sebahagian besar daripada rakyat terjejas dan memerlukan bantuan.

9. Ketika ini, pembangunan insani adalah perlu dititikberatkan, bagi memulihkan moral dan emosi rakyat yang terjejas. Sekurang-kurangnya, selain program kerajaan sedia ada, peruntukan khas tersebut juga dapat membantu masyarakat dengan lebih meluas sekali gus mengurangkan masalah yang ada.

10. Malah dana tersebut boleh digunakan untuk wakil rakyat meningkatkan ekonomi setempat termasuk produk industri kecil dan sederhana (IKS) terutamanya golongan wanita seperti ibu tunggal.

11. Justeru, saya berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan SAWO tanpa mengira sama ada parti kerajaan mahu pun pembangkang.

YB RINA JAINAL
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI N70 KUKUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© 2021 - 2023, Rina Hj Jainal, YB ADUN N.70 Kukusan. All Rights Reserved.