




Sebentar tadi saya mewakili Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) bagi mengiringi YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dalam Majlis Perasmian Program Kasih Ibu Tunggal (KasihnITa) 2026 Negeri Sabah.
Seramai 118 ibu tunggal dari seluruh daerah di Sabah, termasuk Wilayah Persekutuan Labuan serta Lawas, Sarawak, turut disantuni melalui program ini, dengan fokus kepada perkara yang dekat dengan kehidupan wanita daripada hak dan perlindungan perundangan, bantuan guaman, pengurusan hutang, penipuan sehinggalah sokongan psikososial.
Peserta turut diberikan akses kepada susulan bantuan guaman bagi kes sivil dan syariah, selain khidmat nasihat berkaitan hak wanita dan urusan perundangan.
Turut digerakkan ialah sokongan psikososial serta pengurusan kewangan melalui kerjasama AKPK, bersama JHEWA, bantuan guaman, Kehakiman Negeri Sabah dan LPPKN.
Bagi saya, ibu tunggal bukan perlukan simpati semata-mata. Mereka perlukan ruang, sokongan dan peluang untuk bangkit dengan lebih kuat.
Sebab itu kita mahu setiap wanita tahu bahawa apabila berdepan masalah, jangan pendam seorang diri. Ada tempat untuk mengadu, ada saluran untuk mendapatkan bantuan dan ada pihak yang sedia bersama.
Saya akan terus membawa suara dan keperluan wanita Sabah supaya kebajikan, keselamatan, hak dan masa depan mereka terus diberi perhatian.
Kita santuni wanita. Kita lindungi hak mereka. Kita perkasa kehidupan mereka.