
TAWAU: Hospital Tawau mencatat sejarah apabila berjaya melaksanakan prosedur pembedahan otak dalam keadaan sedar atau Awake Craniotomy buat pertama kali di Pantai Timur Sabah, sekali gus memperkukuh perkhidmatan kepakaran di fasiliti berkenaan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Haji Jainal memaklumkan kejayaan prosedur tersebut membuktikan kemampuan pakar tempatan serta kesiapsiagaan Hospital Tawau dalam menyediakan perkhidmatan tahap lebih tinggi kepada rakyat.
Prosedur berkenaan dijalankan pada 23 Februari lalu di Dewan Bedah Hospital Tawau dengan kerjasama pasukan Pembedahan Saraf Hospital Tawau bersama pakar bius neuro dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Hospital Queen Elizabeth II (HQE2).
“Alhamdulillah, pembedahan ini berjalan dengan jayanya hasil kerjasama erat semua pakar terlibat. Ini pertama kali dilaksanakan di Pantai Timur Sabah dan ia satu pencapaian membanggakan bagi perkhidmatan kesihatan di daerah ini,” katanya.
Menurut beliau, prosedur awake surgery membolehkan pesakit dipantau dalam keadaan sedar sepanjang pembedahan bagi menilai fungsi otak dan memastikan keberkesanan rawatan secara lebih tepat.
Kejayaan ini selaras dengan hala tuju untuk menjadikan Hospital Tawau sebagai hospital peringkat negeri yang mampu menawarkan perkhidmatan kepakaran komprehensif tanpa perlu merujuk pesakit ke luar daerah.
Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), prosedur tersebut melibatkan seorang pesakit wanita berusia 48 tahun yang didiagnosis mengalami lesi otak sejak November tahun lalu.
Pesakit dikatakan tidak menunjukkan tindak balas memuaskan terhadap rawatan awal sebelum pembedahan disyorkan. Prosedur yang mengambil masa kira-kira dua jam setengah itu berjaya dilaksanakan dengan selamat dan pesakit kini dilaporkan stabil serta menjalani pemantauan rapi.
Dalam pada itu, Datuk Rina turut menekankan bahawa perkembangan penyakit seperti masalah jantung dan gangguan berkaitan otak yang semakin meningkat memerlukan kesiapsiagaan perkhidmatan kepakaran yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata, dengan adanya kepakaran dan kemampuan melaksanakan prosedur kompleks seperti ini, kebergantungan terhadap hospital tertier di luar daerah dapat dikurangkan sekali gus menjimatkan kos dan masa pesakit serta penjaga.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan bahawa isu peningkatan kes denggi di daerah ini memerlukan tanggungjawab bersama semua pihak.
Menurutnya, antara punca utama kes denggi adalah masalah infrastruktur seperti parit tersumbat dan saliran tertutup akibat kerja naik taraf rumah kediaman yang menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes.
“Kerajaan tempatan terus berusaha memperbaiki infrastruktur, namun kebersihan persekitaran adalah tanggungjawab bersama. Kita tidak perlu menuding jari, sebaliknya perlu memperkukuh kesedaran komuniti bagi mencegah risiko penyakit yang boleh membawa maut,” katanya.