Mengagihkan Lebih 1000 Biji Kuih Raya Kepada Penduduk Kampung Dan Petugas Barisan Hadapan

Kenyataan Media

Pejabat DUN N.70 Kukusan dan Wirawati Kalabakan berkerjasama menyediakan lebih 1000 biji kuih raya untuk diagihkan kepada penduduk kampung dan petugas barisan hadapan sekitar Kukusan dan kawasan berhampiran, awal pagi kelmarin.

ADUN N.70 Kukusan Rina Hj Jainal berkata, terdahulu, kira-kira 15 orang Wirawati Warisan Kalabakan bekerjasama membuat dua jenis kuih raya makmur kacang dan coklat almond.

Dianggarkan sebanyak 1000 biji kuih akan diagihkan kepada orang ramai dalam usaha menyemarakkan semangat penduduk Kukusan khususnya umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

“Ini kali kedua kita berpuasa dan menyambut Aidilfitri dalam keadaan PKP dan pandemik COVID-19.

“Ramai yang terjejas bukan sahaja dari segi kehilangan kerja dan sebagainya, tetapi juga terkesan dari segi emosi dan mental,” katanya

.Justeru, dengan pengagihan biskut raya menerusi Program Projek Cookies Raya Kukusan, beliau berharap agar dapat membantu menaikkan sedikit ‘mood’ raya orang ramai.

Dalam masa sama, Rina dan Pejabat DUN N.70 Kukusan turut mengambil kesempatan mengedarkan 100 tapau makanan untuk bersahur kepada orang ramai khususnya mereka yang bertugas pada waktu malam.

Semua juadah bersahur itu disediakan menerusi gotong royong antara Wirawati Kalabakan dan Pejabat DUN N.70 Kukusan.

“Seawal jam 2 pagi, kami memulakan perjalanan sekitar Kukusan dan bandar Tawau bagi mencari individu yang sedang bekerja seperti pengawal keselamatan, kutip sampah mahupun peniaga kecil.

“Alhamdulillah semua bekas makanan berjaya diagihkan dan program tamat sebelum jam 4 pagi bagi membolehkan kami pulang bersahur,” katanya.

Sementara itu, pihaknya masih memerlukan pakaian kanak-kanak terpakai untuk diagihkan kepada golongan asnaf sekitar Kukusan, tidak lama lagi.

“Setakat ini, kita berjaya mengumpul lebih 30 pakaian hari raya, namun sebahagian besar pakaian wanita dewasa.

“Kami masih memerlukan pakaian hari raya kanak-kanak untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Justeru, orang ramai yang mahu menyumbangkan pakaian boleh menghantar pakaian terpakai di Pejabat DUN N.70 Kukusan atau menghubungi Cik Erna di talian +60 16 825 4285 untuk maklumat lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© 2021 - 2023, Rina Hj Jainal, YB ADUN N.70 Kukusan. All Rights Reserved.