Kenyataan Media 24 April 2021

KENYATAAN MEDIA

Tarikh: 24 April 2021

Petang tadi, ketika sedang melakukan persiapan penghantaran bantuan makanan kepada penduduk, saya dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku di kawasan PKPD Taman Muhibbah Raya.

Saya sempat mengikuti liputan FB Live yang dilakukan orang ramai bagi melihat sendiri apa yang berlaku. Namun begitu, saya tidak boleh membuat kesimpulan secara mudah hanya melalui rakaman berkenaan semata-mata memandangkan saya tidak berjumpa ‘face to face’ dengan mereka.

Bagaimanapun, saya ingin berkongsi sedikit mengenai situasi yang berlaku di kawasan Muhibbah Raya itu sendiri, yang mana saya juga menerima aduan penduduk yang terjejas.Secara umumnya, antara aduan yang diterima adalah mereka mahu bekerja bagi menampung kehidupan harian dengan komitmen kewangan.

Memang mereka ada menerima bantuan makanan, namun, mereka juga masih perlu membayar komitmen kewangan seperti rumah, kereta, bil elektrik, air dan banyak lagi. Semua komitmen ini tetap dituntut ke atas mereka selepas moratorium tidak dilanjutkan.

Belum kira keadaan keluarga dengan tanggungan kecil, memerlukan bekalan kewangan berterusan.

Sebahagian besar mereka ini gaji hari, pastinya terjejas selepas mereka tidak boleh menjana pendapatan akibat tidak bekerja seperti biasa.

Justeru, situasi ini memberi kesan kepada mental dan emosi penduduk seterusnya boleh mendorong mereka untuk mula bersuara.

Di peringkat DUN Kukusan, kami juga berdepan kekangan dalam menyalurkan bantuan secara terus kepada rakyat. Ditambah dengan PKPD, dan polisi yang ditetapkan PKOB Tawau merencatkan perancangan yang telah dirancang sebelum ini dalam usaha membantu rakyat.

Pasukan saya cuba mengatur koordinasi sebaik mungkin untuk menyalurkan bantuan lebih 300 bakul makanan ke kawasan terjejas khususnya dibawah PKPD memandangkan kita tidak boleh keluar atau masuk sewenang-wenangnya sekali gus merencatkan usaha memutuskan penyebaran COVID-19.

Saya berharap apa yang berlaku di Muhibbah Raya hari ini, menjadi perhatian kerajaan untuk tampil dengan mekanisma lebih baik dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Sudah dua tahun kita berdepan PKP, seharusnya ada solusi yang lebih baik berbanding tahun lalu kerana masalah ini turut memberi kesan secara emosi kepada rakyat.

RINA HJ JAINALADUN
N.70 KUKUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

© 2021 - 2023, Rina Hj Jainal, YB ADUN N.70 Kukusan. All Rights Reserved.