


Pagi jumaat yang berkah, ada kisah yang membuatkan kita benar-benar tersentuh apabila melihat sendiri keadaan sebuah keluarga yang sedang berjuang menjaga anak yang sakit.
Saya mewakilkan UPPM N.70 Kukusan PPM Kukusan Tuan Sukardi Mashuri bersama Puan Nurul Fadilah Penolong Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, menziarahi seorang adik yang menghidap penyakit saraf sehingga menjejaskan pergerakan dan pembelajarannya.
Pada usia yang sepatutnya diisi dengan bermain dan belajar bersama rakan-rakan, adik ini terpaksa melalui cabaran yang tidak mampu dibayangkan oleh kebanyakan kita.
Namun yang lebih menyentuh hati adalah pengorbanan seorang ibu. Setiap hari beliau menjaga, mengurus dan membawa anaknya mendapatkan rawatan tanpa mengenal penat lelah.
Walaupun berdepan pelbagai kesukaran, beliau tetap kuat kerana hanya ada satu harapan dalam hatinya, iaitu mahu melihat anaknya kembali sihat dan dapat ke sekolah seperti rakan-rakan yang lain.
Melihat sendiri keadaan mereka membuatkan saya sedar bahawa masih ramai keluarga yang memerlukan perhatian dan sokongan daripada kita.
Semoga bantuan yang disampaikan dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung dan semoga adik ini terus diberikan kekuatan serta dipermudahkan urusan rawatannya.
Kadang-kadang, seorang ibu mungkin nampak kuat di hadapan orang ramai. Tetapi hanya dia yang tahu berapa banyak air mata yang sudah gugur setiap kali melihat anak yang disayangi menanggung kesakitan.
Hasil ziarah dan penilaian yang dibuat, syukur permohonan semakan bantuan kebajikan keluarga ini telah diluluskan.
Bantuan yang sebelum ini berjumlah RM200 sebulan akan dinaikkan dan disalurkan melalui ibu beliau, Puan Yarlina Bachtiar.
Diharapkan penambahan bantuan ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung dalam mengurus rawatan serta keperluan harian anaknya yang memerlukan perhatian dan penjagaan berterusan.