



Saya menziarahi keluarga mangsa tragedi kebakaran di Teratak Kak Bulan, Tawau Lama. Di sebalik tragedi yang meragut nyawa dua orang anak ini, tersimpan sebuah kisah pengorbanan seorang ibu yang benar-benar meruntun hati.
Ketika ziarah tersebut, saya mendengar sendiri perkongsian daripada nenek mangsa dan ayah kepada mangsa tentang detik-detik cemas yang mereka lalui ketika kejadian berlaku.
Menurut perkongsian mereka, ketika kebakaran berlaku, terdapat enam orang di dalam rumah, iaitu ibu bersama lima orang anaknya. Bapa kepada anak-anak tersebut pula sedang bekerja di luar kawasan.
Ibu mangsa terjaga daripada tidur apabila terhidu asap yang sangat kuat. Sebaik menyedari rumah mereka sedang terbakar, perkara pertama yang dilakukannya ialah menyelamatkan anak bongsunya yang kebetulan berada bersebelahan dengannya.
Dalam keadaan cemas, beliau mengangkat anak kecil itu lalu melemparkannya keluar melalui tingkap disusuli dengan dua orang lagi anak beliau dengan harapan nyawanya dapat diselamatkan.
Namun, masih ada anak-anak lain yang perlu diselamatkan.
Beliau kembali masuk ke dalam rumah. Kali ini, beliau mengambil selimut dengan harapan dapat menyelamatkan dua lagi anaknya yang masih berada di dalam.
Tetapi ketika pintu bilik anaknya dibuka, api sudah terlalu marak. Bahangnya terlalu kuat sehingga beliau tidak mampu meneruskan usaha untuk mendapatkan kedua-dua anaknya.
Dan di sinilah hati saya benar-benar tersentuh apabila mendengar kisah yang dikongsikan.
Dalam keadaan tidak berdaya, ibu ini menyandarkan tangannya ke dinding rumah lalu memohon maaf kepada kedua-dua anaknya kerana tidak mampu membawa mereka keluar.
Ya Allah… bayangkan perasaan seorang ibu ketika itu.
Anak-anak yang dikandung, dilahirkan dan dibesarkan masih berada di dalam rumah. Nalurinya mahu kembali mendapatkan mereka. Seluruh kekuatannya mahu menyelamatkan mereka, tetapi api terlalu marak untuk ditembusi.
Beliau kemudiannya cuba menyelamatkan diri melalui bahagian atap rumah. Namun, atap yang rapuh menyebabkan beliau terjatuh lalu mengalami patah tulang belakang. Sehingga kini, beliau masih menerima rawatan di hospital.
Sebagai seorang ibu, saya sendiri sukar membayangkan betapa beratnya ujian yang sedang ditanggung oleh wanita ini.
Dalam keadaan nyawanya sendiri terancam, fikirannya tetap kepada anak-anak. Beliau sudah berusaha, kembali masuk ke dalam rumah dan mencari jalan untuk menyelamatkan mereka. Namun, ada keadaan yang berada di luar kemampuan seorang manusia.
Kepada ibu dan ayah yang kehilangan anak-anak tersayang, saya ingin sampaikan bahawa tiada kata-kata yang mampu menghilangkan kesedihan ini.
Saya mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan buat kedua-duanya, khususnya kepada ibu yang masih menjalani rawatan. Semoga diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan.
Buat anak-anak yang telah pergi, semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan anak-anak syurga.
Seorang ibu boleh kehilangan kekuatan tubuhnya, tetapi kasih dan perjuangannya untuk anak-anak tidak pernah hilang.
Kisah ini akan terus mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap tragedi, ada hati seorang ibu dan ayah yang sedang menanggung kehilangan yang tidak mungkin digambarkan dengan kata-kata.
Semoga Allah memeluk hati keluarga ini dengan rahmat dan kasih sayang-Nya.
Al-Fatihah.