

Hari ini saya berkesempatan mengadakan kunjungan hormat kepada YBhg. Datuk Dr. Mahathar bin Abd Wahab, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, di Putrajaya.
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Ketua Pengarah atas kelulusan ICL (Invasive Cardiac Laboratory) pertama yang memberi manfaat besar kepada rakyat Tawau dan pantai timur Sabah amnya.
Pertemuan ini juga membuka ruang perbincangan berkaitan isu kesihatan, kesejahteraan rakyat serta keperluan semasa, khususnya melibatkan wanita, keluarga dan komuniti di Sabah.
Banyak perkara kita bincangkan dari dasar hingga realiti di lapangan yang rakyat hadapi setiap hari.
Antara perkara utama yang saya suarakan:
Isu Kesihatan Mental
Keperluan memperkukuh kerjasama antara KKM dan KWKKR dalam melaksanakan program kesedaran di peringkat komuniti.
Pesakit mental perlu dibimbing dalam masyarakat supaya lebih mudah menyesuaikan diri dan tidak dipinggirkan.
Isu MySTEP & Graduan Perubatan
Kekurangan peluang pekerjaan serta isu kontrak dalam kalangan graduan perubatan perlu diberi perhatian serius. Tenaga mahir ini perlu dimanfaatkan sebaiknya.
Masa Depan Belia Autisme (18 Tahun Ke Atas)
Keperluan program susulan yang lebih jelas selepas tamat persekolahan termasuk latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan sokongan berterusan.
Kekurangan Fasiliti Kesihatan di Sabah
Keperluan mendesak untuk menambah baik fasiliti kesihatan termasuk hospital, klinik, peralatan serta tenaga kerja. Masih banyak kawasan berdepan kekangan akses rawatan dan kemudahan yang terhad.
Selain itu, hasil pemerhatian beliau di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth 1, keadaan kini menunjukkan pesakit tidak lagi menunggu terlalu lama , satu penambahbaikan yang sangat kita hargai.
InsyaAllah, setiap perkara ini akan terus diperjuangkan demi memastikan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik dan menyeluruh.
Kalau ada isu di kawasan, bagitau jak. Kita bawa sampai ke atas.
Suara kamu, amanah saya. Kita bawa sampai jadi.